KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 17, 2011

Harakah dibaca hampir dua juta pembaca setiap bulan - Tarmizi Mohd Jam



Pengaruh lidah rasmi Harakah begitu besar sehingga mencecah hampir dua juta pembaca pada setiap bulan dan ini menjadikan akhbar bercetak ini bertahan begitu lama berbanding dengan akhbar tabloid yang lain di negara ini, kata Pengarang Berita Harakah, Dato' Tarmizi Mohd Jam.

Katanya, Mac tahun depan, Harakah akan menyambut Jubli Perak 25 tahun dan dalam tempoh itu pelbagai pahit maung diharungi, namun, atas kegigihan pucuk pimpinan ia muncul sebagai akhbar alternatif yang sentiasa mengancam pengaruh Umno-BN.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Kursus Kewartawanan & Pemberitaan Berintegriti peringkat PAS Wilayah Persekutuan, Ahad 13 Nov lalu di Pejabat Agung PAS, dekat sini. Turut menyampaikan syarahan media, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

Terdahulu, ketika merasmikan kursus berkenaan, Ketua Penerangan PAS Wilayah, Nasaei Ismail berkata, peranan media cukup penting dalam menyampaikan maklumat dan membentuk persepsi masyarakat.

"Dengan adanya kursus bersama Harakah ini, diharapkan lebih ramai ahli PAS berperana sebagai pelapor bukan sahaja kepada Harakah tetapi kepada media baru teramsuk facebook, website dan blog masing-maisng," katanya.

Sementara itu, Ahmad Lutfi dalam syarahannya "Kepentingan Media Hadapi PRU-13" menyifatkan bukan soal keterbatasan penyampaian maklumat kepada sasaran tetapi bagaimana maklumat itu dibentuk dan dibina agar upaya mencetuskan persepsi dalam masyarakat terhadap sesuatu isu.

"Hari ini, sesiapa boleh dapatkan maklumat dalam internet. Tetapi peranan pemberita atau wartawan yang jadi penulis, lebih memainkan peranan dalam membina persepsi masyarakat berdasarkan maklumat itu," tegas beliau.

Kursus setengah hari itu antara langkah Harakah untuk merancakkan lagi penyebaran maklumat secara tepat dan berintegriti melalui pelbagai medium, bukan Harakah semata-mata.  

Pada majlis itu, Tarmizi mengumumkan satu muka surat Harakah diberi keutamaan untuk berita-berita PAS Wilayah sebagai menangani isu ketiadaan liputan terhadap kegiatan dan kenyataan pimpinan PAS Wilayah.

PAS Batu serah signbord pejuang dan perelok pusara Mat Indera di Taiping



PAS Kawasan Batu telah menyerahkan papan tanda bagi pusara Allahyarham Mat Indera dan akan memperelokkan pusara yang terbiar itu sebagai ingatan genarasi akan datang terhadap tokoh dan pejuang kemerdekaan yang dijatuhkan hukuman gantung oleh penjajah British pada tahun 1953.

Dalam ziarah "XPDC Terjah Juang PAS Batu" pada Sabtu, 12 Nov lalu, Yang Dipertuanya, Ishak Surin telah menyerahkan papan tanda berkenaan kepada penjaga Tanah Perkuburan Islam Kg. Jambu, Yaacob Din.

Kos memperelokkan pusara sebanyak RM1,000 ditanggung sepenuhnya oleh PAS Kawasan Batu sejajar dengan peristiharan keluarga Mat Indera menjadi keluarga angkat PAS Kawasan berkenaan.

Ekspedisi juga turut menziarahi pusara bekas Presiden PAS, Allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmy Pahlawan Umat di Masjid Lama, Taiping.

Sebelum itu, kumpulan ekspedisi 15 orang telah menerjah rumah pejuang kemerdekaan Imam Abdul Majid Salleh, 88, di Taman Bersatu, Simpang Pulai, Ipoh. 

Sewaktu mudanya, Abdul Majid aktif bersama Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Muar dan berkesempatan menjadi rakan karib Allahyarham Mat Indera. Beliau pernah dipenjara selama tujuh tahun oleh penjajah British kerana kegiatannya menentang penjajahan.

Kini, beliau terlantar sakit tua di rumah sewa anaknya dan sesiapa yang ingin membantu boleh hubungi Setiausaha PAS Batu, Dato' Ismail Yahya (013-3847899) atau hulurkan sumbangan bank in kepada CIMB (1219-0001028-10-7) atas nama NGO Peduli Kasih.

Skandal lembu feedlot: NFC tidak pernah bayar satu sen kembali kepada kerajaan


Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang cuba memisahkan isu NFC daripada kebertanggungjawaban Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan kerajaan Barisan Nasional. 

Kenyataan-kenyataan mereka memberi gambaran bahawa NFC adalah sebuah syarikat swasta dan tidak ada unsur percanggahan kepentingan (conflict of interest) apabila sebuah syarikat milik keluarga menteri mendapat projek kurniaan kerajaan.
 
KEADILAN ingin menegaskan bahawa sejak menerima sepenuhnya pinjaman mudah dari kerajaan berjumlah RM250 juta, NFC tidak sekali pun membayar balik satu sen kembali kepada kerajaan – baik dari segi pembayaran pinjaman pokok atau pun faedah 2% yang dikenakan. 

Sekiranya ia benar-benar sebuah pinjaman seperti yang didakwa pimpinan Umno, maka sekurang-kurangnya NFC perlulah membayar RM5 juta setahun kepada kerajaan dalam bentuk faedah pinjaman.
 
Semakan KEADILAN menunjukkan bahawa NFC bukan sahaja tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada kerajaan, ia juga tidak merekodkan sebarang liabiliti bagi kadar faedah 2% seperti yang didakwa oleh kerajaan.
 
Hakikatnya, operasi NFC dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat melalui suntikan dana RM250 juta dan geran RM6 juta yang diluluskan kerajaan. Keputusan untuk menganugerahkan projek kebangsaan yang dikategorikan sebagai Projek Berimpak Tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) ini dibuat oleh kabinet Barisan Nasional yang dianggotai Tun Abdullah Badawi, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
 
Justeru, prestasi NFC sudah tentu menjadi tanggungjawab menteri-menteri yang terbabit, apatah lagi apabila syarikat yang mendapat projek dimiliki sepenuhnya oleh keluarga menteri.
 
Keadaan ini diburukkan lagi apabila NFC tidak diuruskan dengan baik sehingga tidak mencapai sasaran yang dipersetujui. Malah, transaksi NFC juga menunjukkan dana rakyat yang disalurkan melalui suntikan RM250 juta disalahgunakan untuk kegunaan keluarga dan ahli-ahli politik Umno.
 
Saya senaraikan transaksi berikut yang tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan benar-benar memantau NFC:
 
Pada tahun 2008 (di awal penubuhan), NFC membayar perbelanjaan Dato’ Seri Shahrizat Jalil sebanyak RM26,400. Jika benar isu NFC tidak ada kena mengena dengan Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sewajarnya beliau langsung tidak ada urusan dengan syarikat ini apatah lagi menggunakan wang NFC untuk membayar perbelanjaan beliau.
 
NFC membayar sejumlah RM398,640 kepada Dato’ Dr Mohamad Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dalam tahun 2009 sebagai bayaran sewa pejabat NFC di Mont Kiara. Tindakan menggunakan wang NFC dari dana RM250 juta untuk membayar sewa kepada pengarah-pengarah NFC perlu juga dijawab oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
 
NFC mendermakan lembu-lembu yang dibiayai dengan wang rakyat kepada YB Dato’ Shaziman Mansor pada 1 September 2009 bernilai RM5,281.87 dan YB Yunus pada 30 November 2009 bernilai RM2,640.93. 

Kalau isu yang serupa menyebabkan SPRM menyiasat YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini, SPRM juga perlu tangkas menyiasat NFC, YB Dato’ Shaziman Mansor dan YB Yunus kerana mendapat lembu yang dibiayai rakyat.
 
NFC juga menjual lembu secara hutang kepada pimpinan Umno seperti YB Dato’ Seri Zulhasnan Rafique bernilai RM70,000 dalam tahun 2008, yang hanya dibayar dalam tahun 2009.
 
KEADILAN boleh sahaja mendedahkan secara terperinci setiap perbelanjaan yang melibatkan ramai lagi pimpinan Umno dan dana rakyat berjumlah RM250 juta ini. Skandal NFC telah menunjukkan bagaimana bobroknya sikap pimpinan Umno yang menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya atas alasan ia perbelanjaan sebuah syarikat swasta.
 
Malangnya, syarikat swasta itu dimiliki oleh keluarga seorang menteri dan dianugerahkan sebuah projek besar negara dengan suntikan dana RM250 juta. Tindakan yang lebih mulia ialah bagi menteri-menteri yang berkenaan memikul tanggungjawab dan mengambil tindakan tegas berhubung skandal NFC ini. - yb saifuddin nasution ismail

Gagalnya HIMPUN: Signal rakyat tidak bersama Umno-BN untuk PRU-13



Sebenarnya sejak awal dirancang, tiada siapa yang mahu percaya HIMPUN akan berjaya menghimpunkan sejumlah besar umat Islam di Malaysia, walaupun kempen yang dijalankan cukup besar, termasuk penggunaan media arus perdana.

Lebih-lebih lagi dengan persetujuan Perkasa mahu menyertai HIMPUN, makin ramai yang menjauhkan diri dari HIMPUN, kerana terbukti selama ini, apa yang dibawa Perkasa dalam pesada politik Malaysia, menjadikan rakyat Malaysia yang sudah Merdeka 54 tahun, tidak selesa dibuatnya.

Dalam khutbah Jumaat yang lalu, ada juga diselitkan dengan pujukan supaya seluruh umat Islam mestilah menghadirkan diri di Perhimpunan HIMPUN kerana mahu menunjukkan kegusaran yang berlaku ekoran cerita murtad yang semakin menjadi-jadi.

Malangnya, pihak penganjur terlupa bahawa rakyat Malaysia sudah matang kini. Walaupun mereka tahu yang gejala murtad menjadi-jadi di Malaysia, tetapi mereka tidak bersedia menjadi mangsa eksploitasi pihak pemerintah yang mahu mengalihkan isu sebenar yang melanda negara.

Dan ini boleh dijadikan 'kayu pengukur' terhadap sokongan pemerintah terhadap program yang mereka anjurkan, walaupun 11 Resolusi HIMPUN khabarnya akan diberikan perhatian oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom.

Walaupun tidak berniat mahu membandingkan Perhimpunan HIMPUN degan Perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu, rakyat kini lebih bersedia berhimpun dalam kesusahan dan semburan gas pemedih mata, jika ia menyentuh tentang penyelewengan yang lebih kepada penyatuan dalam kepelbagaian.

Kurangnya audien, dengan tidak ada penyertaan PAS dan Keadilan, sekaligus semangat mereka yang mahu berhimpun kini terserlah, bahawa mereka sedih bersusah payah dengan perbelanjaan sendiri dan kemungkinan mendapat kesusahan dan ada yang kehilangan nyawa, jika tidak melibatkan pemerintah.

Sedikit sebanyak Umno akan malu dengan perkembangan ini. Walaupun banyak NGO yang menyokong Umno mahu ahli-ahli mereka menyertai perhimpunan ini, tetapi, inilah jawapan mereka bahawa mereka tidak bersedia untuk dipergunakan.

Bagi yang hadir, mungkin juga kerana kesedaran tentang gejala murtad tetapi mereka tidak mendapat sokongan padu dari orang ramai yang juga mempunyai kesedaran dan kebimbangan mengenai gejala tersebut.

Apa lagi yang mahu dikatakan oleh Perkasa dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya? Bayangkan kalau Perkasa yang menelurkan idea mengadakan HIMPUN ini, barangkali tidak sampai satu persepuluh jumlah kehadiran yang akan memenuhi perhimpunan tersebut.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tentunya terhambat dengan rasa kecewa yang amat sangat dengan perkembangan ini, kerana ketika mereka bersedia menggunakan isu murtad dan Akta Murtad sebagai modal Pilihan Raya Umum (PRU 13) akan datang, HIMPUN yang mendapat restu Umno dan kerajaan, tidak menunjukkan situasi berpihak kepada BN.

Apa lagi usaha PM dan TPM, selain 'walk a about' dan Umno Juara Rakyat yang sudah semakin menyepi? Bajet 2012 yang dikatakan menjanjikan macam-macam ganjaran juga tidak membuatkan orang Melayu dan Islam berhimpunan di Perhimpunan HIMPUN?

Najib dan Muhyiddin mungkin sudah buntu memikirkannya. Slogan atau Gagasan 1Malaysia yang cuba dijual selama ini juga tidak membangkitkan semangat apa-apa kepada petugas Umno dan BN kecuali lambang 1Malaysia yang mereka tampal di dada baju yang mereka pakai setiap masa.

Umno tentu tidak sedap badan dibuatnya. Pemuda Umno di bawah kepimpinan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) juga semakin binggung dengan sikap Najib yang tidak memperdulikan sayap itu, sehingga menyebabkan ada yang sudah berani mengatakan 'mereka putus harapan' dengan Najib yang berlaku tidak wajar terhadap KJ.

Barisan lama yang membarisi kabinet Najib juga merimaskan. Ketua Pergerakan Wanita Umno hanya seorang Senator dan Presiden Gerakan dan MIC yang menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri juga merupakan Senator.

Apakah Najib masih bercadang mahu mengekalkan mereka ini selepas PRU 13 akan datang, kerana tempoh Senator mereka mungkin sudah sampai ke penghujung dan mungkin juga mereka akan tewas sekali lagi dalam PRU 13 seperti mana mereka ini tewas dalam PRU 12, 2008 yang lalu.

Pastinya bekas Perdana Menteri seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak perlu dicalonkan lagi mewakili BN. Begitu juga bekas-bekas Menteri Besar yang sudah tidak diperlukan seperti Idris Jusoh dan Shahidan Kassim, sudah barang tentu disenaraikan untuk digugurkan.

Bagaimana dengan bekas Menteri seperti Syed Hamid Albar, Abdullah Mohd Zin dan Mohd Zin Mohamad?

Jika Najib merasakan tenaga muda diperlukan, siapakah mereka? Apakah Najib mahu dikenali sebagai PM 'kitar semula' dengan mengekalkan mereka yang sudah tamat tempoh perkhidmatannya? Ini semua menyebabkan orang Melayu yang selama ini bersama Umno dan menyokong BN menjauhkan diri mereka dari pemerintah.

Mereka sedar, transformasi yang Najib laung-laungkan hanyalah pemanis bibir untuk menutup segala kelemahan dan kekurangan. Apakah Najib tahu bahawa semua ini sudah tidak laku lagi di zaman yang serba canggih ini?

HIMPUN sebenarnya satu medan ujian yang sangat berguna buat Umno dan BN. Malahan, jika Perkasa dapat menghimpunkan semua ahli-ahlinya yang didakwa sudah beratus ribu orang, juga boleh menjanjikan Presidennya mendapat tempat di Pasir Mas, malangnya, ia kini menjadi harapan hampa kepada mereka.

Cukuplah! Jangan semua perkara mahu dipolitikkan. Jangan semua hal mahu dieksploitasi. Ini bukan zaman 70 an dan 80 an lagi. Zaman sudah berubah. Lebih baik pemuda-pemuda Melayu menonton perlawanan bolasepak antara Selangor dengan Terengganu atau antara T Team dengan Negeri Sembilan.

Di sini mereka dapat merasakan kebebasan sebenar sedangkan ketika di HIMPUN, jika mereka hadir, mereka merasakan diri mereka diperkudakan oleh mereka yang masih kepingin mengekalkan kuasa.
Dari jauh, Najib dan Muhyiddin tentunya kecewa kerana usaha memasang perangkap menarik sokongan bagi menyerang PAS tidak berjaya.

Percayalah, selepas ini tiada lagi perhimpunan sebegini, lebih-lebih lagi yang bernama Perhimpunan Sejuta Umat mahu dianjurkan kerana risiko untuk mereka dimalukan cukup tinggi.

Akhirnya, mereka tahu bahawa cerita mengangkut orang untuk menunjukkan mereka masih ramai penyokong sudah tidak boleh dilakukan lagi. - safar jumaat

Pemain media baru, konvensional jangan abai kredibiliti informasi




Minat ahli-ahli PAS untuk menulis dan melapor makin meluas. Sehari suntuk saya dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman mengemudi Kursus Kewartawanan & Pemberitaan peringkat negeri Perak, pada Ahad, 23 Oktober lalu.

Respons mereka menerujakan. Mereka terdiri daripada anak-anak muda yang ligat menjadi pemain media baru dalam padang facebook dan blog. Kursus sehari itu, diyakini telah membetulkan cara penulisan berita mereka, agar informasi lebih tepat, berkualiti dan berkredibili.

Ini penting kerana mereka memiliki media di hujung jari. Tidak seperti 10 tahun lalu. Pelbagai laman sosial, twit, blog dan portal berita upaya dibina dan diisi di mana sahaja. Di sinilah mereka memuntahkan informasi ikut acuan sendiri. 

Terima kasih saya kalungkan kepada Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Nuri Al-Amin Endut yang membuka langkah dan memberi peluang kepada mereka membina kualiti dan kredibiliti dalam berinformasi. 

Itu bukan untuk Harakah semata-mata, tetapi medium baru yang lain termasuk facebook, blog, portal berita dan buletin bercetak.

Dan inilah yang sangat dikehendaki Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Mereka mahu pemberita, blogger dan facebooker PAS menulis dengan berhemah dan ada kredibiliti agar kualiti informasi boleh dipercayai.

Pada hemat saya, kursus sebegini patut diadakan di setiap negeri. Ia sudah tentu menjadi anjakan penting kepada Persidangan ICT & Media Baru PAS Pusat, yang dilangsungkan pada Sabtu, 22 Oktober lalu di Kuizm, Kuala Lumpur. 

Penggunaan pelbagai aplikasi canggih dalam dunia teknologi maklumat tidak memberi impak jika informasi tidak tepat, sarat dengan unsur fitnah dan herotan keadilan, yang sudah tentu ia tiada kredibiliti.

Lajnah Penerangan PAS negeri-negeri wajar mengambil inisiatif ini. Belum terlambat lagi untuk membekalkan kemahiran menulis berita dan artikel mengikut standard sebenar. Tanpa pengetahuan ini, informasi yang ditulis akan dilihat "sampah" oleh pembaca kerana tidak berkualiti dan tiada kredibiliti.

Dan sudah tentulah, media baru yang bergerak berganda dan pantas sebagai medium informasi, tidak lagi efisyen, jika berita atau artikel yang dipaparkan tidak berkredibiliti. 

Soal kredibiliti dalam apa jua sektor cukup dijulang, dan ketegasan dalam memilih dan merekodkan hadis Rasulullah SAW juga membuktikan kredibiliti dalam informasi menjadi praktikal sejagat.

Persiapan utama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak memadai dengan pelbagai aplikasi canggih teknologi maklumat. Ia mesti diisi dengan informasi berkualiti dan berkredibiliti, walaupun pihak musuh mendominasikan internet dan media konvensional dengan laporan fitnah dan berat sebelah.

Pesanan Tok Guru Nik Aziz, agar setiap blogger serta pemain media baru perlu terus belajar dan belajar memberi signal kehendak jelas beliau, agar pelajaran yang ditimba akan mengukuhkan nilai informasi yang berkredibiliti.

"Kita melihat apa yang berlaku sekarang, kebanyakan blogger memaparkan berita yang tidak betul dan melemparkan fitnah. Seorang blogger, facebooker mesti ada sifat mulia. Jangan fitnah orang lain," pintanya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 di Dewan Dato' Fadzil Noor, Taman Melewar.

Beliau juga mahu pemain media baru mengungguli teknik dan strategi untuk mengilas isu fitnah yang ditembak dengan menjulang nilai-nilai Islam, kerana ia juga dapat memberi impak tajam kepada pemfitnah dan pembaca.

Seperti Tok Guru Nik Aziz, Dato' Seri Presiden PAS juga mengingatkan setiap pemain media baru agar berfungsi menebarkan informasi berkualiti, dengan pelbagai cara terutama di kampung-kampung yang terpencil. 

Beliau juga mahu cara mengedarkan informasi dikenalpasti agar pengundi kampung dapat mengisar isu semasa dengan tepat. Selain memaparkannya pada laman sosial, twit, blog dan portal berita, usaha mencetak semula atau merekabentuk informasi dalam gaya buletin dan risalah bercetak patut dilakukan tanpa banyak alasan.

Hanya dengan cara ini, informasi tepat dapat dikisar oleh akal mereka untuk menujah segala kebobrokan fitnah dan adu domba Umno-BN baik dalam padang internet mahupun yang dijelirkan oleh media cetak dan elektronik.- tarmizi mohd jam

Pemimpin Umno-BN tak reti bahasa Laporan Audit setiap tahun


Sebenar apa yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2010, tidak banyak yang boleh diperbaiki kerana semuanya sudah disediakan dengan alasan yang direka, sekadar mahu melepaskan tengkok masing-masing dari kecaman.

Janji Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa kelemahan tujuh kementerian akan dibaiki, adalah janji yang juga merupakan alasan biasa, selepas sesuatu kelemahan didedahkan, tetapi kemudiannya, kelemahan ini (baca: kesalahan) akan berulang dan mungkin berulang dengan lebih teruk lagi.

Mohd Sidek akan bersara. Janjinya tidak boleh terpakai kepada Ketua Setiausaha Negara yang bakal menggantikannya. Perbelanjaan di semua kementerian berjalan setiap hari dan tiada sesiapa yang memantaunya!

"Saya tidak risau sangat bila Ketua Audit (Negara) beri pandangan sedemikian, saya risau jika masalah itu ada, tetapi Ketua Audit (Negara) tidak mahu beri pandangan," kata Mohd Sidek kepada pemberita baru-baru ini.

Memang betul, kenapa Mohd Sidek hendak risau? Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya dan beliau tidak perlu menjawabnya dalam Parlimen. Yang pastinya, semua kesalahan ini bolehlah dibebankan kepada Umno dan BN kerana komponen ini sebenarnya degil dan tidak peduli dengan apa yang berlaku.

Apakah ada mana-mana dari kalangan Ketua Umno Bahagian, Ketua Pemuda, Puteri dan Wanita yang berani untuk bangkit mempersoalkan kelemahan ini? Apakah ada di kalangan pemimpin tertinggi Umno mahu menyerang kementerian yang didakwa berlaku kelemahan tersebut?

Ada berani? Atau takut lebih banyak lagi pendedahan yang selama ini ditutup dengan tudung saji akan terbuka pula?

Siapakah yang mengetuai Kementerian Kesihatan; Kementerian Tenaga, Tekonologi Hijau dan Air; Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi? Bukankah mereka ini dari kalangan Menteri-Menteri dari BN? Bukankah yang melantik mereka ini ialah Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden Umno?

Begitu juga dengan agensi kerajaan yang terlibat dengan kelemahan yang didedahkan ini termasuklah Kastam DiRaja Malaysia yang terletak di bawah Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri juga terletak di bawah kementerian yang sama, yang menterinya adalah Perdana Menteri dan Perbadanan Stadium Nasional yang terletak di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Bak kata orang-orang tua-tua, nasi sudah menjadi bubur. Tak ada apa yang boleh diperbaiki lagi, kecuali janji supaya kelemahan ini tidak berulang. Itu sahaja. Duit yang sudah dibelanjakan, tidak akan dapat dikembalikan dan mereka ini berbelanja macam duit mereka sendiri, tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan dan berjimat.

Sebenarnya, apa yang berlaku ini bukan kali pertama. Ia pernah berlaku dan kini berulang. Mereka ini ada jawapannya. Tahun lalu, ada pendedahan dalam laporan audit mengatakan ada kenderaan yang diisi minyak sekaligus dalam jumlah besar yang tidak masuk akal.

Namun, jawapan yang diberikan kemudian, sebenarnya satu kad pemandu mengisi minyak untuk lebih dari sebuah kenderaan kerana pemandu lain terlupa membawa kad pengisian minyak. Memang alasan itu logik tetapi, apakah ia boleh dipercayai?

Bila Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dato' Seri Azmi Khalid berkata akan memanggil tujuh kementerian dan agensi kerajaan yang didapati melakukan kelemahan seperti yang didedahkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, ramai yang bertanya; "Apa yang boleh Azmi lakukan?"

Ramai juga yang mempersoalkan bagaimanakah Kementerian Pelajaran boleh membekalkan komputer ke 27 makmal komputer yang gagal disiapkan hingga menyebabkan komputer tersebut terus berada di dalam kotak tanpa digunakan?

Bayangkan hanya dua daripada 300 makmal sekolah harian di Sabah yang disiapkan. Apakah ini sesuatu yang boleh diterima dan kemudian dimaafkan begitu sahaja? Sebenarnya isu makmal komputer ini adalah isu lama yang sepatutnya mendedahkan pekong Umno yang memberikan projek-projek pembinaan makmal kepada kroni masing-masing.
Ini belum lagi didedahkan bagaimana keadaan komputer yang dibekalkan ke sekolah-sekolah itu sekarang dan syarikat mana yang dapat kontrak memperbaiki (maintanance). Khabarnya, semua komputer di sekolah-sekolah yang dibekalkan kerajaan sudah tidak boleh digunakan lagi.

Kalau sesiapa rajin membuka Laporan Audit Negara 2008, 2009 dan kini 2010, pastinya mereka akan bertemu dengan "ulangan-ulangan" ini yang akhirnya, kerajaan terpaksa membenarkan perbelajaan boros dan tidak berhemah ini.

Alangkah terkejutnya apabila Ketua Audit Negara mendedahkan hutang kerajaan sekarang ialah RM407 bilion dan kelewatan mengeluarkan Laporan Audit negara 2010 ini kerana mahu disertakan dengan jawapan dari pihak kementerian yang terlibat dengan 'kelemahan'.

Sama ada mereka sedar atau tidak, kelewatan memberikan laporan audit ini sudah tidak memathui Peraturan Mesyuarat 20 (1) di mana Dewan Rakyat, Speaker dan Ahli Parlimen mesti dibekalkan dengan laporan itu ketika Belanjawan berlangsung.

Tidak hairanlah kalau ada pihak yang mendakwa, kelewatan itu merupakan strategi Barisan Nasional untuk mengelak laporan tersebut dibahaskan dan berniat menyorokan maklumat kandungan laporan tersebut.

Jika rakyat mengikuti perkemabngan ini secara dekat, jangan terkejut jika mereka akan mengajar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang, kerana peluang sudah mereka berikan selama ini, namun kekuasan yang mereka ada terus menerus digunakan untuk mengayakan kroni dan melakukan penyelewengan.

Cerita pembelian 23 ekor kuda dengan kos RM5.66 juta juga tidak mudah untuk ditutup, walaupun pihak berkenaan mendakwa ia merupakan sesuatu yang baru dan tiada pakar kuda yang ada untuk menilainya.

Rupa-rupanya, bukan sahaja rakyat mahu diperbodohkan, menteri dan pegawai kementerian juga diperbodohkan oleh si penternak kuda hingga kuda yang dibeli tidak boleh digunakan. Mungkin kuda-kuda itu, jika masih muda boleh disembelih untuk diagih-agihkan dagingnya atau, dijual kepada pihak DBKL dan Tentera bagi tujuan rondaan dan hiasan.

Walaupun dari siasatan, ia tidak merupakan penyelewengan kerana harga 23 ekor kuda memang sepatutnya RM5.66 juta tetapi, dari segi moralnya, apakah pegawai yang terlibat dalam pembelian ini tidak boleh diturunkan pangkat menjadi penjaga kandang-kandang kuda?

Tahun ini, dan laporan yang bakal dikeluarkan tahun depan, apakah ketirisan baru ditemui? Atau, ada kelemahan lain di kementerian lain pula, selain agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kastam bakal mengisi laporan yang semakin tebal?

Khabarnya MARA, Jabatan Taman Laut Malaysia dan beberapa agensi lain turut memberi pendedahan tentang kelemahan termasuk membeli sepasang binokular marin dengan harga 29 kali ganda dari harga pasaran.

Ini mengingatkan orang ramai bagaimana MARA pernah membeli kerusi pejabat dengan harga yang mahal dalam laporan beberapa tahun dahulu dan Kementerian Belia dan Sukan membayar dengan harga yang tidak masuk akal terhadap pembelian sepana dan skru. - safar jumaat